Kisah Encik, Aku dan Covid19

Covid19

“Che Aa, berapa kes Covid hari ni? Berapa ramai yang mati?”
“Risaunya Encik. Makin hari makin naik kes. Apa kita nak buat ni?”

“Che Aa, nanti datang rumah Encik”
“Che Aa, nanti mari tolong sama-sama kita kemas rumah Encik ya”

‘Che Aa’ tu nama timangan saya untuk keluarga terdekat. Kami panggil ‘Encik’ sebagai panggilan kepada mak sedara. Posting ini lebih kepada kisah Encik, Aku dan Covid19.

*****************************************************

Ikut kiraan…

Abah meninggal tahun 1994 – dah 27 tahun
Ibu mertua meninggal tahun 2000 – dah 21 tahun
Ayah mertua meninggal tahun 2005 – dah 16 tahun
Umi meninggal tahun 2014 – dah 7 tahun

Rasa macam sebatang kara lepas Umi meninggal. Ayah Ibu kandung dan ayah Ibu mertua semua dah tiada.

Alhamdulillah, masih direzekikan ada 2 orang ibu saudara di sebelah Umi. Seorang di Ampang Jaya, seorang lagi di Teluk Intan Walaupun tak boleh menggantikan Umi, saya tahu taraf ibu saudara bagaikan ibu sendiri.

Kedudukan ibu saudara sama seperti ibu dalam dalam hal berbakti kepadanya, kemuliaannya dan hubungan kerabat. Saya usahakan untuk pelihara hubungan dengan ibu saudara bagai ibu sendiri walaupun ibu kandung telah tiada.

This image has an empty alt attribute; its file name is image-11-354x700.png
Encik

“Bonda, Encik Hp call”
“Bonda ada missed call Encik Hp”

Cepat-cepat anak akan bagi phone kepada saya.

“Bonda tak pergi jumpa Encik Hp?”
“Opah Chor le….”

‘Bonda’ adalah nama gelaran yang anak-anak gunakan untuk panggil saya. Anak-anak saya panggil Encik dengan gelaran Opah Chor.

Saya save no telefon ibu saudara saya dengan panggilan ‘Encik Hp’. ‘Hp’ tu merujuk kepada ‘handphone’. Encik merupakan anak pertama dari 8 adik beradik. Encik merupakan kakak kepada Umi. Satu-satunya ibu saudara saya yang masih ada selepas adik Umi, arwah Cik yang tinggal di Teluk Intan meninggal tahun 2019.

Kenangan bersama arwah Cik. Bawa Cik jalan-jalan ke Teluk Batik tahun 2018

‘Encik Hp’….Panggilan telefon yang tak boleh tidak, mesti saya pick up melainkan kalau ada urusan yang penting. Tapi saya akan usahakan call balik Encik.

“Che Aa tengah meeting. Jap lagi Che Aa call Encik balik”

“Che Aa kat mana?”
“Baru keluar hutan Encik…hiking bawak anak-anak”
“Nanti singgah rumah Encik ke?”
“Insya-Allah jap lagi Che Aa confirm balik”

Kadang masa sedang kerja, tengah drive, tengah masak. Saya tahu, Encik cari teman untuk berbual. Saya ok je sebab itulah satu-satunya ibu saudara yang saya masih ada.

Bila Allah gerakkan hati Encik telefon saya, waktu itu Allah sedang datangkan rezeki kepada saya.

“Che Aa tengah buat apa?”
“Tengah kerja Encik”
“Dah pukul 7 pun kerja lagi?”
“Kejap lagi nak habis Encik. hi hi…”
“Encik kacau Che Aa je”
“Tak de lah. Ok je ni, Encik sihat?”

Saya bayangkan dengan menyantuni Encik, Umi pasti sedang tersenyum ‘di sana’ kerana anaknya berbuat baik dengan saudara kandungnya. Insya-Allah.

Kami kerap bercakap di telefon, macam-macam topik yang kami sembang. Dan saya alhamdulillah tak jemu melayan Encik.

Bertanya khabar hal keluarga, bertukar-tukar resepi, doa-doa, hal-hal agama, hal berkaitan Palestin, kadang ada juga masuk topik politik negara. Haaa…yang ni bila saya ingatkan balik, rasa geli hati pun ada. Saya ingat saya dah ikut perkembangan politik negara dengan baik. Tapi kadang-kadang info Encik yang lebih update. Mungkin hasil rujukan dari medsos. Kita ni kerja, kalut…kadang tak sempat nak ikut perkembangan semasa dah. So, supaya tak lari jauh sangat level pengetahuan tu… lepas habis cakap dengan Encik saya google dan ambil tahu pasal politik yang paling latest juga. Tak mau la nanti jawab tak tahu je.

“Encik, ada nak makan apa-apa ke? Che Aa ada dekat area sini”
“Encik teringin nak makan sup kat kedai mamak Restoran Rasyid belakang Ampang Point”
“OK”

Dapatlah kami makan bersama, borak-borak.

“Che Aa tolong nanti kalau pergi Greenwood singgah kat kedai Usop belikan Encik barang”

“Encik ni ada sakit buah pinggang, doktor tak bagi minum air banyak.”

Masa ni ziarah Encik di HUKM – Ogos 2019

Semenjak Covid19 makin tidak terkawal, agak terbatas kami nak berjumpa. Setiap hari kami akan bercakap di telefon. Mujur zaman sekarang dah mudah.

Benda pertama yang Encik akan tanya

“Berapa dah kes Covid hari ni? Berapa yang meninggal?”

Cepat-cepat saya buka apps MySejahtera atau Telegram MKN untuk tengok update berapa kes baharu dan berapa kes kematian untuk hari itu. Setiap hari.

“Risaunya Encik…camana lah kita ni nanti? Tak turun-turun kes ni…”
“Nak buat camana Encik…..kita ikut SOP je lah”

10 April 2021

Pagi Sabtu. Plan nak kayuh basikal dan ziarah Encik. Kali pertama kayuh solo ikut route baru jalan dalam. Risau juga.

“Ya Allah…bertuah nya budak ni. Boleh dia datang sini kayuh basikal je”
“Hi hi hi…nak jumpa Encik le..”

Senyum aje Encik.

“Nanti Che Aa datang lagi naik basikal ya Encik”

Saya update Facebook dan Strava semasa saya ziarah norma baharu di bulan Ramadhan 1422H.
Alhamdulillah sangat bila dapat jenguk Encik sebelum Ramadhan walaupun dengan berbasikal dari Gombak ke Ampang Jaya.

Punyalah kalut dan nerves nak kayuh solo, sampai tak bawak IC dan duit langsung. Masa singgah nak beli untuk Encik check2 baru perasan. Nasiblah polis tak tahan.

Ziarah norma baharu – Syaaban 1422H

8 Mei 2021 (26 Ramadhan 1422H)

“Che Aa tolong orderkan rendang ayam. Encik nak ayam kampung dengan rendang ayam biasa untuk raya nanti”

Setiap tahun saya akan order kat biras sebelah rumah yang memang buat bisnes catering. Bukan saya masak. Jadi orang tengah je boleh la.

10 Mei 2021 (28 Ramadhan 1422H)

“Che Aa, Encik tak sangka semalam orang surau bagi anugerah kat Encik.” dari suaranya, ceria betul. Memang bunyi seronok sangat. Dengan usia yang dah 82 tahun, masih ada yang ingat jasa baktinya.

Encik merupakan guru mengaji Al-Quran. Di kenali ramai di kawasan tempat tinggalnya, Ampang Jaya, Selangor. Anak-anak muridnya memang ramai.

Dapat anugerah pada 27 Ramadhan 1422H (9 Mei 2021) – Jasa bertahun-tahun sebagai Guru Mengaji Al-Quran di kawasan Ampang Jaya, Selangor

12 Mei 2021 (30 Ramadhan 1422H)

Petang tu saya hantar rendang ayam yang Encik order. Saya bagi sekali rendang Dendeng. Esok nak raya dah kan…alhamdulillah direzekikan juga jumpa dengan cousin2 yang tersayang – anak-anak Encik, Lope dan Yong.

Macam biasa, balik tak akan pulang dengan tangan kosong. Dapat rempeyek, dapat rendang, dapat kek buah. Alhamdulillah.

“Kirim salam dengan Cik Hamid dan anak-anak”

Macam tu lah selalunya.

Mulai dari 1 Syawal 1422H, kami dah tak berjumpa. Hanya telefon sebagai penghubung.

“Che Aa masak apa hari ni?”
“Masak Ikan Patin Minyak Bijan Encik. Resepi baru tahu..hi hi”
“Sedapnya…nanti datang rumah Encik masak ya”
“Boleh boleh…Che Aa dah tau dah kedai mana selalu jual Ikan Patin. Boleh nanti bawak sana kita masak sama-sama”


“Che Aa tak dapat datang tengok Encik ke?”
“Tak boleh Encik, PKP ni. Jadi sebab pulak kang. Bahaya beribu-ribu kes. Duduk diam-diam je lah kat rumah. Kalau tak penting, tak keluo”
“Ye lah….Che Aa doa lah cepat-cepat habis Covid ni. Lama sangat dah”

EPISOD COVID 19

14 June 2021

Encik buat video call. Sebelum ni call je. Tak pernah buat VC.

“Che Aa, Encik jatuh. Ni baring je. Apa pun tak larat nak buat. Nak mati dah Encik ni. Pening.. sakit perut. Cirit birit. Makan bubur je”

Tergerak hati nak screenshot VC. Encik baring kat katil. Beberapa kali handphone terjatuh.

“Tangan Encik lenguh la Che Aa. Encik letak phone ya. Tak larat nak pegang phone”
“Ok ok Encik. Rehat la dulu. Nanti call balik”

15 June 2021

“Che Aa nanti bacakan Yaasin Al-Fatihah untuk Encik ya. Doakan Encik ya.”
“Mintak tolong anak-anak Che Aa doakan Encik, sedekahkan Yaasin dan Al-Fatihah”

17 June 2021

Petang dapat perkhabaran Encik dimasukkan ke hospital. Pendarahan usus.
Hasil swab test, Encik positif Covid19 stage 4

Allahu….datang juga Covid tu!

Saya tak dapat nak call Encik. Dalam keadaan Encik yang lemah, tak dapat nak tinggalkan handphone kat Encik.

18 June 2021

Alhamdulillah Encik dah ada handphone.

“Che Aa, kahak Encik banyak. Encik pakai oksigen. Pakai pampers ni. Encik cirit cirit”
“Encik kena kuat, jangan putus asa. Banyak istighfar Encik ya”

19 June 2021

“Encik nak mintak tolong bawakkan tisu banyak-banyak.”
“Ok ok”
“Encik mintak maaf banyak-banyak ya. Doakan Encik”

Lepas tu dah tak berapa dengar butir percakapan Encik

20 June 2021

Pagi tu saya update MySejahtera dan check status vaksin. Alhamdulillah appointment untuk 1st dose vaksin jam 11.30 pagi bertempat di Sungai Penchala, Jalan Datuk Ismail.

“Che-Aa, Encik dah tenat ni….”
“Allahuakbar…Encik jangan putus asa”

Pagi itu lah last call saya dapat bercakap dengan Encik. Malam tu saya call balik Encik tak pick up.

21 June 2021

Dalam lingkungan jam 10.30 pagi dapat perkhabaran Encik dah tiada.

Allahu…..
Tiada lagi panggilan dari ‘Encik Hp’.
Tiada lagi ibu saudara yang jadi kawan sembang.
Tiada lagi ibu saudara untuk jadi rujukan.
Tiada lagi ibu saudara yang dapat disantuni.

Berakhir sudah episod Encik, Aku dan Covid19….topik perbualan setiap hari kami.

Encik tewas dengan Covid19.
Covid is real.

DAMAILAH DI ‘SANA’

Al Fatihah buat arwah Bonda saudara saya Hajjah Puteri Umi Kalsom Binti Megat Alias. Kembalinya pada hari Isnin bertarikh 21 June 2021 bersamaan 10 Zulkaedah 1442H pada usia 82 tahun 8 bulan.

إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن

Innalillahi wa inna ilaihi raji’un
اَللهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu”

Ya Allah YaTuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya

Solat Jenazah
Lokasi tempat pengebumian Encik Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Selasih Gombak
Lokasi tempat pengebumian Umi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda


Encik selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Gombak pada 21 Jun 2021 jam 3 petang. Bersebelahan dengan tempat kubur arwah Umi di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda. Umi meninggal pada 8 Jun 2014.

Bersemadilah dengan damai di ‘sana’. Syahid buat mu. Semoga ditempatkan bersama para solihin.

Kerja pengebumian dijalankan dengan sangat pantas

Balik dari pengkebumian, anak saya Hannan bersuara

“Alhamdulillah Opah Chor umur macam tu kuat lagi ingatan dan sihat. Seronok macam tu”

Ya, Encik masih boleh membaca Al-Quran tanpa memakai cermin mata. Ingatannya kuat.

Kepada yang membaca posting saya, sudilah kiranya sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat ibu saudara kesayangan saya, Hajjah Puteri Umi Kalsom Binti Megat Alias dan jika tidak keberatan dapatlah kiranya dilakukan solat jenazah ghaib baginya.

DIREZEKIKAN SAHABAT YANG BAIK

Encik direzekikan dengan sahabat-sahabat yang baik di sekelilingnya. Rezeki yang tak putus. Bila saya ziarah rumah Encik, meja makan sentiasa ada hidangan. Ada saja sahabat yang menghulurkan rezeki. Macam-macam hadiah dari sahabat dan anak-anak murid.

Berkat sebagai guru agama.

Malam 21 June 2021 jam 9.15 malam, berkumpulnya sahabat-sahabat Surau Madrasah Ihsaniyah Ampang Jaya (MAIJ) mengaturkan sesi bacaan Yaasin dan Tahlil secara maya.

Majlis telah di pimpin oleh Imam Azman Mohd Arif. Bantuan teknikal oleh Saudara Sutnam dan Saudara Norman dibawah Pengurusan Tuan Presiden MIAJ, Dr Mohd Noor Ropiah .

Seramai 67 orang terdiri dari ahli keluarga daripada Kuala Lumpur, Kuala Kangsar, Perak , Kuantan dan Pulau Pinang serta 50 Jemaah MIAJ telah sama-sama menjayakan majlis maya ini.

Bagi mengenangkan jasa bakti Encik kepada masyarakat Ampang Jaya dalam pengajian Al Quran, satu projek Bantuan Anak Yatim Piatu PKP 3.0 dilancarkan dengan nama “Program Bantuan Anak Yatim Piatu PKP 3.0 Allah yarhamah Ustazah Puteri Umi Kalsom bt Megat Alias MIAJ 1442H

Ya Allah, rezeki Encik atas sumbangannya di dunia, walau dah berpindah ke alam lain, pahalanya masih berterusan mengalir …..

MASIH ADA KESEMPATAN UNTUK BERBUAT BAIK

Adakah anda masih ada Mak Long, Mak Ngah, Mak Lang, Mak Andak, Mak Teh, Mak Su?

Usahakan cari sedikit ruang dan masa untuk mereka walaupun kita sibuk. Berbuat baik dan berbakti kepada ibu saudara bahkan ibu saudara menjadi kesempatan kedua untuk kita berbakti setelah kematian ibubapa kita. Janganlah diabaikan tanggungjawab dan kesempatan ini.

Santunilah mereka bagai ibu sendiri. Bantu apa yang termampu dengan membantu hidupnya, memberi sedekah bahkan zakat jika layak, menziarah bertanya khabar sakit demamnya.

Tentu ibubapa kita jika masih hidup atau sudah tiada akan merasa bahagia kerana anak-anak mereka berbuat baik dengan saudaranya. Insya-Allah.


~Kak Tun~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *